Friday, 10 April 2015

Hadis Palsu Tentang Bulan Rejab

Pejam celik dan pejam celik tak terasa betul masa berlalu, lebih kurang seminggu lagi masuk bulan Rejab.  Sejak adanya kemudahan media sosial dewasa ini, makin banyak ilmu yang tersebar dan tak kurang juga fitnah mudah disebarkan dan juga perkara-perkara palsu.

Antara yang tak ketinggalan adalah sebaran mengenai kelebihan bulan-bulan tertentu di dalam Islam.  Tertarik dengan post page Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengenai kelebihan bulan Rejab yang akan disebarkan secara meluas tak kira di facebook, whatsApp, Telegram, Wechat & sebagainya.  Ini berlaku bila menjelangnya bulan Rejab setiap tahun.

Pada entri kali ini, saya kongsikan mengenai hadis palsu yang biasa disebarluaskan oleh kebanyakan orang kita sejak kebelakangan beberapa tahun yang lalu, moga-moga dengan ini, kita tidak terlanjur untuk menyebarkan hadis palsu walaupun pada niat asalnya untuk menyebarkan kebaikan.

Semoga Allah ampunkan kita atas ketelanjuran di masa lalu..

Antara kelebihan bulan Rejab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan laporan/hadis PALSU ialah:

i. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.


ii. Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqash. Dalam rantaian pelapor hadis ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa'i.


iii. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.


 iv. Sesiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Sesiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Sesiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Sesiapa berpuasa setengah bulan Rejab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, sesiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Sesiapa yang berpuasa sebulan Rejab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi 'Iyash. Laporan-laporan lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rejab juga laporan palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin 'Antarah, dan Farrat bin al-Sa'ib.


 v. Sesiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rejab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya? Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat laporan palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rejab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat laporan palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi 'Iyash. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha'ib.


vi. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka. Laporan ini palsu kerana ia direka oleh seorang pelapor hadis yang dilabel oleh ulama hadis sebagai seorang pereka hadis iaitu Aban bin Abi 'Iyash.



HARAM MENYEBAR HADIS PALSU

Al-Mughirah bin Syu'bah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih direkod oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma' Ibrahim bin Ismail Ali 'Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-'Asqalani yang bertajuk 'Tabyin al-'ajab bi ma warada fi fadhl Rajab', ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadis maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadis. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadis palsu dalam ancaman Nabi, "Sesiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka". Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah SAW.

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rejab sahaja, sedangkan ia bersumberkan laporan/hadis palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar daripada al-Quran dan hadis sahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat isnin khamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.


Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rejab ini daripada dicemari dengan hadis palsu.
Wallahu a'lam.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Friday, 3 April 2015

Peranan Ibu Bapa Menangani Anak Kaki Gajet

Zaman sekarang, adalah hampir mustahil untuk kita pisahkan anak-anak kita daripada terdedah dengan gajet.  Gajet seperti tab, i pad, telefon pintar dan sebagainya.  Sebagai ibu bapa, menjadi tonggak utama dalam mengawal pendedahan anak-anak kepada gajet.  Saya tak nafikan, gajet memang membantu untuk anak-anak belajar di zaman serba canggih ini, namun kawalan tetap perlu.

Tak tahu nak cakap samada ini memang benar-benar yang Albert Einstein katakan, atau seseorang lain yang gunakan namanya untuk menyampaikan mesej yang bermakna untuk peringatan kita di zaman gajet ini.
Bagi saya, mesej di dalamnya sangat berguna tak kira lah samada Albert Einstein yang kata ataupun bukan hehehe




Satu cabaran yang agak besar juga untuk ibu bapa zaman sekarang untuk mengembalikan anak-anak ke dunia nyata jika mereka dibiasakan dengan menghadap gajet sedari kecil.  Ini telah menjadi kebiasaan kepada mereka.  Namun begitu, tidak terlambat untuk ibu bapa mengubah keadaan ini, syaratnya.. ibu bapa perlukan kesabaran yang tinggi dan disiplin agar matlamat untuk menjadikan anak kaki gajet kepada kanak-kanak yang aktif bermain di dunia nyata.

Antara peranan ibu bapa dalam menangani anak kaki gajet adalah :

1)   Ibu Bapa haruslah mendisiplinkan diri terlebih dahulu; mengurangkan masa menghadap telefon pintar mereka, i pad dan sebagainya.

2)   Bersabar dalam melayan kehendak anak apabila mula untuk mengalih perhatian anak-anak dari menghadap gajet kepada membuat aktiviti 'dunia nyata'.  Pada peringkat ini, tantrum merupakan perkara biasa yang akan dihadapi oleh ibu bapa, makanya bersabarlah dan berjiwa kental lah kita menghadapi karenah anak-anak syurga ini.

3)   Berkorban masa untuk bersama-sama 'turun padang', membuat aktiviti bersama anak-anak.  Anak-anak akan lebih teruja jika ibu bapa turut bermain bersama mereka.  Tak percaya, cubalah :)

4)   Sanggup untuk belajar, belajar untuk memahami kehendak anak.  Sebenarnya, anak-anak perlukan perhatian yang sangat banyak dari ibu bapa mereka.  Untuk memahami anak-anak syurga ini, kita harus lebih banyak belajar melalui perbincangan sesama kawan-kawan yang juga telah jadi ibu bapa, perbincangan ini kebiasaanya boleh dibuat semasa sama-sama pakat untuk berkelah atau bawa anak-anak keluar bermain di taman permainan.  Zaman sekarang perbincangan secara online melalui aplikasi WhatsApp, Telegram, media sosial seperti Facebook dan sebagainya menjadi lebih mudah untuk mencari maklumat.  Namun begitu, harus diingat, jangan asyik menghadap telefon pintar atau komputer riba anda semata-mata ingin berbincang atau mencari maklumat sehinggakan anda terlepas matlamat dan keluar dari 'trek disiplin'.


Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak untuk mengurangkan masa mereka bersama gajet. Antaranya melukis, mewarna, bermain pondok-pondok dan sebagainya.  Suka saya ingatkan, dalam beraktiviti ini, antara kejadian yang akan membuat ibu bapa lebih stres ialah rumah anda mungkin akan bersepah!

Bertenang ya ibu ayah, anak-anak kita akan membesar, dan inilah masanya kita bermain bersama mereka.  Lagi 10- 15 tahun akan datang pasti kita mula mengeluh kesunyian dan rindukan suasana rumah kita semasa anak masih kecil.  Jika rumah bersepah selepas melakukan aktiviti, di sini lah kita boleh selitkan pengajaran buat mereka untuk mengemas semula selepas mereka beraktiviti, hasilnya sememangnya takkan memuaskan hati tetapi nilai di situ untuk mereka belajar supaya bertanggung jawab jauh lebih tinggi.

Aktiviti yang membantu anak-anak sibuk selain menghadap gajet adalah :

a)   Melukis dan mewarna antara aktiviti yang mudah kerana setiap rumah pasti mempunyai peralatan tulis.  Jika anak-anak masih kecil dan belum bersekolah, boleh sediakan pearalatan tulis untuk mereka beraktiviti.  Tak perlu beli yang mahal dan berjenama, asalkan ia berkualiti baik dan selamat digunakan anak kecil kita.







b)   Bermain dengan blok merupakan antara aktiviti terbaik kerana ia mengasah kreativiti dan imaginasi anak-anak.  Tak hairan jka mereka boleh menggubah blok-blok tersebut kepada bentuk benda yang mereka selalu lihat.  Psst..di sini anda boleh lihat apa yang bermain di fikiran anak anda melalui apa yang mereka selalu lihat melalui 'binaan' blok mereka.





c)  Cuba tarik perhatian anak anda untuk membuat origami yang mudah, anak-anak pasti teruja.  Kita yang dewasa ini juga pasti terleka sama hehe.  Antara peralatan yang perlu adalah gunting dan kertas.  Dalam aktiviti ini kita boleh terapkan konsep 3R iaitu Reduce, Reuse & Recycle!
Tak perlu berbelanja lebih untuk berorigami bersama anak-anak, boleh gunakan helaian surat khabar sebagai permulaan.  Anda juga boleh menggunakan helaian yang berwarna untuk aktiviti ini.  Jika mempunyai bajet lebih, tak salah untuk anda membelikan keras berwarna warni, tetapi pastikan anda telah mengenal pasti bahawa anak anda lebih minat untuk berkecimpung dalam aktiviti origami. 


d)  Bermain di luar merupakan aktiviti yang menyeronokkan dan sihat.  Ini kerana anak-anak akan aktif bergerak.  Masa yang sesuai untuk bawa anak-anak bermain diluar adalah ketika waktu petang, di mana cahaya matahari tidak begitu terik.  Ingat tak masa kita kecil, bermain di luar adalah aktiviti yang sangat ditunggu-tunggu.  Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan di luar, teringat masa kecil-kecil, bermain galah panjang, bermain polis sentri, main teng-teng dan banyak lagi lah permainan yang jarang anak-anak sekarang main. Ingat ya, pastikan kita pantau anak-anak bermain di luar terutama yang berusia 7 tahun ke bawah.  Lebih baik kita sekali turun padag bermain bersama mereka.






Terlalu banyak aktiviti yang boleh mengalih perhatian kanak-kanak dari menghadap gajet.  Kalau nak cerita memang berjela.  Entri saya kali ini diharapkan membantu sedikit sebanyak ibu bapa di luar sana yang tengah pening dengan ketagihan anak-anak kepada gajet.  Kami bukanlah ibu bapa sempurna, masih juga belajar dan terus belajar dalam membesarkan anak pada zaman yang lain dari zaman kita membesar dahulu. Semoga catatan tak seberapa ini bermanfaat, insyaAllah.



Peringatan buat diri dan siapa sahaja yang ingin mengambil peringatan ini...

Anak-anak  lebih belajar dari SIAPA KITA berbanding apa yang kita ajarkan kepada mereka.

kredit gambar : 'encik' google :)


Thursday, 2 April 2015

Perbezaan Laknat Dan Murka

Alhamdulillah, pagi Isnin baru-baru ini, berkesempatan ke kelas usrah ibu-ibu Wakra, kelas usrah ni kira kelas tafsir Quran.
Minggu ini merupakan minggu kedua ustaz menyampaikan tafsir Surah An Nur.  Sebelum ini, kami mempelajari tafsir surah Al-Kahfi.

Surah An-Nur merupakan antara surah yang Rasulullah SAW cadangkan untuk dipelajari oleh setiap ahli keluarga kerana di dalamnya banyak pengajaran mengenai keluarga, pengajaran hubungan lelaki dan wanita.
Kata ustaz, ada 3 surah yang sangat  Rasulullah galakkan untuk diajarkan kepada keluarga iaitu ;

     1) Surah An Nur

     2) Surah An Nisa'

     3) Surah Al Ahzab

Apa yang menarik perhatian saya pada perkongsian minggu ini adalah, ustaz ada menyelitkan makna 'Laknat' dan 'Murka' Allah swt.  Kedua-duanya seperti sama maksud tetapi yang sebenarnya ia berlainan pengertian antara satu sama lain.

Laknat bermaksud jauh, jauh disini di ertikan jauh dari rahmat Allah.
Ustaz ada menyebut tiga jenis manusia yang dilaknat Allah iaitu

i)  Anak yang membenci ibu bapanya

ii)  Orang yang mengubah tanda jalan

iii)  Orang yang bersubahat melindungi pesalah/penjenayah yang melanggar undang-undang.

Apabila manusia dapat 'title' terlaknat, makanya jauh lah dirinya dari rahmat Allah swt sehingga dia betul-betul bertaubat.  Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi menerima taubat hambaNya.

Berkisar dengan surah An Nur, dari ayat 1-10, ianya berkisar tentang hukum Allah yang lebih dikenali sebagai hukum hudud.  Antara yang mengundang kemurkaan Allah swt adalah apabila seseorang suami atau isteri bersumpah palsu dalam kesaksiannya apabila berlaku salah seorang menyaksikan (suami/isteri) menjadi saksi pasangan mereka berzina, dan salah seorangnya bersumpah palsu dan sedia menerima murka Allah.

Murka bermaksud marah.  Sesiapa yang mendapat kemurkaan Allah bermakna seseorang itu hanya menunggu masa untuk mendapat balasan atas dosa yang dilakukan olehnya, lambat atau cepat.
Nauzubillahi min zalik, semoga kita dijauhkan dari melakukan perkara yang Allah murkai.

Sebenarnya, banyak lagi penerangan ustaz semasa tadabbur Surah An Nur walaupun baru sampai ayat 10.
Apa yang saya kongsikan disini, antara points yang menarik perhatian, yang mana selama ini kebanyakan dari kita menganggap Laknat dan Murka itu lebih kurang sama.  Semoga perkongsian yang 'secubit' ini bermanfaat.  InsyaAllah.